Datuk, nenek tak sangka 2 cucu bawa balik keropok beracun

Muhammad Nazar menunjukkan gambar Muhammad Luth ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Ubi. Gambar kecil: Muhammad Akil.
Muhammad Nazar menunjukkan gambar Muhammad Luth ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Ubi. Gambar kecil: Muhammad Akil.
A
A
A

KULIM - Datuk dan nenek dua beradik yang kritikal selepas makan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Ahad, tidak menyangka keterujaan kanak-kanak itu membawa pulang bungkusan makanan ringan itu berakhir tragedi.

Menurut Saadiah Yaacob, 62, sebelum itu, kedua-dua cucunya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, mengikut suaminya, Muhammad Nazar Abdullah, 53, mencari lembu di kawasan kebun terletak 50 meter dari rumah.

Saadiah berkata, dia kemudian ternampak kedua-dua cucunya itu masuk ke dalam rumah dan terus ke bilik ibu mereka sambil membawa dua bungkus keropok.

Katanya, dia kemudian keluar dan pergi ke kebun getah berhampiran meninggalkan dua beradik itu bersama ibu mereka.

Saadiah memaklumkan tidak lama kemudian, dia ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jirannya memberitahu dua cucunya dibawa ke klinik kerana muntah dan mulut berbuih.

“Cucu saya balik sambil bawa keropok di tangan dalam keadaan riang. Masa tu saya nampak mereka tak makan lagi sebab sampai rumah baru mereka buka.

“Mereka terus ke dalam bilik ibu mereka. Saya diberitahu, selepas makan, tiba-tiba kedua-dua mereka menggelupur sambil muntah dan mulut berbuih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini.

Dalam pada itu, datuk mereka Muhammad Nazar berkata, dia tidak menyangka perkara itu berlaku kerana kedua-dua cucunya memang rapat dengannya dan sering mengikutnya mencari lembu.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, dalam kejadian pagi semalam, dia sudah menyuruh mereka pulang ke rumah dan tidak menyangka mereka mengambil bungkusan makanan ringan itu bersama.

Katanya, racun yang terdapat dalam makanan ringan itu berkemungkinan bukan racun tikus sebaliknya lebih kuat.

Menurut Muhammad Nazar, dia sedih dengan kejadian yang menimpa dua cucunya itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang sebab tak mahu jadi dekat orang lain. Saya sedih sangat kerana mereka rapat dengan saya,” katanya.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!