Wanita jatuh gaung selamat dibawa keluar
IPOH - Seorang wanita yang cedera selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu di sini semalam, berjaya dibawa keluar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 35 tahun itu dibawa keluar dengan selamat kira-kira jam 1.30 pagi.
"Wanita itu seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sabarodzi dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 3.29 petang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun.
Wanita terbabit dikatakan menyertai trip Pendakian Korbu dan Gayong bersama 34 lagi peserta sejak Sabtu lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!