Bekas atlet antara 21 OKU terpilih tunai umrah percuma

Kumpulan jemaah OKU bergambar sebelum menyempurnakan rukun ibadah umrah di Tanah Suci.
Kumpulan jemaah OKU bergambar sebelum menyempurnakan rukun ibadah umrah di Tanah Suci.
A
A
A

SHAH ALAM - Terpilih menunaikan ibadah umrah secara percuma menjadikan 'mimpi' bekas atlet tenis paralimpik negara bersama 20 lagi orang kurang upaya (OKU) untuk menjejakkan ke Tanah Suci kini termakbul.

Lebih istimewa, Firdaus Ibrahim, 28, dan insan senasib dengannya itu mengerjakan ibadah tersebut menerusi Pakej Umrah Musim Haji kelolaan MKM Ticketing Travel & Tours (MKM) sekali gus membolehkan mereka merasai 'aura' ibadah haji.

Firdaus berkata, seramai 21 jemaah OKU termasuk dirinya dikumpulkan untuk satu tujuan yang suci.

"Tidak boleh berjalan, tidak boleh melihat serta tidak boleh mendengar dan bercakap.

"Kami dikumpulkan untuk satu tujuan yang sama iaitu mengunjungi Baitullah al-Haram atau kiblat bagi umat Islam seluruh dunia," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kesemua rombongan jemaah berkenaan yang terdiri daripada tiga OKU fizikal berkerusi roda, lapan orang buta serta 10 orang bisu dan pekak menerima tajaan menunaikan umrah daripada tiga beranak yang memenangi hadiah cabutan bertuah pakej haji berjumlah RM118,622 daripada MKM.

Firdaus menjadi antara 21 jemaah OKU yang terpilih menunaikan ibadah umrah secara percuma kelolaan MKM.
Firdaus menjadi antara 21 jemaah OKU yang terpilih menunaikan ibadah umrah secara percuma kelolaan MKM.

Sinar Harian pada 29 Mei lalu melaporkan, seorang ibu, Noor Hazama Fadhillah Abdullah, 55, dan dua anaknya, Luqman Irfan Muhamad Suhaeri, 26, serta Luqman Syafiq Muhamad Suhaeri, 24, bermurah hati menggunakan hadiah kemenangan terbabit untuk menaja kumpulan OKU menunaikan umrah bagi mereka merebut 'saham akhirat'.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jemaah OKU buta, Remli Abas, 65, mengakui bersyukur kerana niat yang ditanam sekian lama untuk pergi ke Tanah Suci akhirnya menjadi nyata.

"Saya selalu tengok program televisyen Salam Baitullah kerana berminat dan memang berniat nak tunaikan ibadah umrah.

"Alhamdulillah sebab niat dah ada, akhirnya ALLAH SWT hantar saya ke sini (Tanah Suci). Kalau ada duit pun kadang-kadang belum tentu boleh tunai ibadah umrah atau haji sekiranya tiada rezeki.

"Namun saya tidak pernah bermimpi untuk dapat tunai umrah dengan percuma seperti ini. Memang saya sangat gembira" ujarnya yang berasal dari Kangar, Perlis.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Strategik MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, pihaknya menambah kuota jemaah OKU dari perancangan asal 16 orang ke 21 orang bagi membolehkan lebih ramai insan istimewa merasai 'rezeki' tersebut.

Katanya, rombongan jemaah OKU terbabit selamat tiba di Jeddah kira-kira jam 7 petang waktu tempatan pada Ahad.

"Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.25 petang Ahad menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH156.

"Mereka akan berada di Tanah Suci selama 12 hari 10 malam. Untuk ikuti perjalanan haji, umrah musim haji dan bagi mengetahui pakej yang disediakan, orang ramai boleh layari laman web mkm.my," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!