Empat cedera ambulans terbalik
TAIPING - Sebuah ambulans yang membawa pesakit terbalik menyebabkan empat individu cedera dalam kejadian dekat Kamunting di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, ambulans dipandu lelaki berusia 20-an bersama pegawai perubatan, wanita berusia 41 tahun dan lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan ke Parit Buntar membawa pesakit lelaki berusia 68 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.30 pagi.
"Kemalangan melibatkan ambulans terbabas di dalam parit dan terdapat empat mangsa. Seorang mangsa lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam.
"Tiga lagi mangsa telah dikeluarkan oleh pihak bomba. Hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya cedera ringan dan dua dilaporkan parah," katanya di sini.
Menurut beliau, kesemuanya mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!