Perak akan pastikan hasil NR-REE kekal milik kerajaan negeri

Saarani (kanan) ketika menjawab soalan tambahan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Saarani (kanan) ketika menjawab soalan tambahan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan memastikan hasil unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) kekal milik kerajaan negeri dan tidak diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu menjadi kebimbangan semua kerajaan negeri di negara ini kerana tidak mahu hasil tersebut diuruskan oleh GLC Pusat.

Menurutnya, hasil NR-REE merupakan hak negeri dan wajar diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Kebimbangan YB (Yang Berhormat) adalah merupakan kebimbangan pihak kerajaan negeri, bukan sahaja negeri Perak tapi semua kerajaan negeri dalam Malaysia ini. Dalam beberapa mesyuarat yang diadakan di peringkat pusat termasuk Perak, kita menyatakan pendirian kita bahawa hasil bumi NR-REE adalah hak kerajaan negeri.

"Jadi semua aktiviti yang berkaitan dengan pengekstrakan merupakan hak kerajaan negeri walaubagaimanapun kerajaan Pusat akan menjadi penyelaras kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya," katanya ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Akta Pembangunan Mineral 1994 perlu dipinda dalam usaha memenuhi keperluan pembangunan kerangka model perniagaan NR-REE negara.

Kerangka perundangan itu adalah perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbincangan dibuat mengenai penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

Sementara itu menjawab soalan tambahan M Thulsi (PH-Buntong), Saarani memaklumkan Makmal Analisis Mineral iaitu Terra Mineral Lab (TML) yang akan memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NR-REE akan memulakan operasi pada September tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 15 pekerja baharu yang akan diambil sempena pembukaan TML tersebut termasuk dua orang ahli kimia kanan daripada universiti tempatan.

Jelasnya, seramai 13 orang lagi merupakan graduan yang akan bertugas sebagai pembantu ahli kimia berkenaan bersama-sama kakitangan sokongan.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan mengambil pendekatan untuk membangunkan Loji Pemprosesan Pusat untuk melaksanakan pemprosesan awal pengasingan elemen NR-REE.

Selain itu katanya, kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan yang menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa seperti Perbadanan Menteri Besar Perak (MBInc), Institut Darul Ridzuan (IDR), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Pusat Kecemerlangan Pendidikan ini bertujuan memastikan penyelidikan yang dijalankan adalah relevan dengan keperluan industri dan dapat dikomersilkan dengan cepat.

"Pusat ini akan menjadi hab untuk penyelidikan, inovasi, dan pembangunan teknologi berkaitan nadir bumi," katanya.

Saarani berkata, pusat kecemerlangan itu telah memulakan tiga kajian penting mengenai operasi perlombongan NR-REE merangkumi aspek tahap radioaktiviti, pemantauan sumber air bawah tanah dan kestabilan tanah.

Jelasnya, kajian tersebut bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang teknik perlombongan In-Situ Leaching (ISL) yang digunakan untuk mengekstrak NR-REE di kawasan projek perintis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!