PM nafi arahkan, campur tangan siasatan SPRM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan atau mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin tertentu dalam blok pembangkang dengan tujuan untuk membalas dendam.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menafikan wujud pendakwaan terpilih dalam pentadbiran beliau seperti didakwa pihak tertentu.

“Saya hendak maklumkan di sini bahawa SPRM dari semasa ke semasa ada memaklumkan (mengenai siasatan tertentu kepada beliau) tapi saya tidak campur tangan (dan) tidak arahkan (untuk dakwa mana-mana pihak).

“Soal hendak tuduh silakan. Seperti mana yang kita tahu, tindakan SPRM ini harus didukung dan saya selalu menggesa SPRM supaya bertindak lebih pantas, lebih berani kerana kita sudah terima kenyataan (bahawa rasuah ini telah menjadi sistemik) dan atas sebab itu semua langkah yang diambil perlu disokong.

“Tapi andaian kita (kerajaan) campur itu kerana ia diwarisi sistem (pentadbiran) yang lama. Memang menjadi isu besar bahawa jentera kerajaan dijadikan dalang atau diperalat oleh (pemimpin) politik untuk mendera musuh.

“Sebenarnya kes-kes melibatkan orang politik ini tidak banyak, yang banyak itu melibatkan syarikat-syarikat dan penjawat awam,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Mohamed Taufiq Johari (PH - Sungai Petani) mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa wujud pendakwaan terpilih dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tambah Anwar, semua pihak termasuk pemimpin politik seharusnya mendukung usaha untuk memerangi rasuah daripada terus membarah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sama ada SPRM memilih untuk menyuarakan atau tuduh itu soal mereka tapi kalau jumpa (SPRM) saya akan terus gesa ambil tindakan. Kalau kita tidak beri mesej jelas supaya bersihkan (negara daripada rasuah) ia akan menjadi barah,” katanya.

Menurutnya lagi, di bawah pentadbirannya juga turut melarang Jemaah Menteri daripada terlibat dengan sebarang rundingan terus bagi projek kerajaan

“(Jemaah Menteri) boleh beri pandangan tapi proses tender itu mesti dihormati. Itu yang sedaya upaya kita lakukan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!