Malaysia boleh jadi 'partner country' BRICS - Anwar
KUALA LUMPUR - Hubungan baik Malaysia dengan negara anggota BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang sedia ada akan membolehkan Malaysia menjadi 'partner country' dalam kadar segera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dalam konteks berkenaan, ia akan dikenali sebagai 'BRICS new partner country' sebelum Malaysia memuktamadkan penyertaannya.
"Memang benar ada kemungkinan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS akan mengambil sedikit masa, tetapi dengan hubungan baik dengan negara anggota, ada kemungkinan kita jadi ‘country partner’ atau ‘BRICS partner country model’ atau ‘new partner country.’
”Tetapi dari segi perbincangan dengan Kementerian Luar, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), dan jemaah menteri, kita rasa memang ada kebijaksanaan dan keperluan untuk kita bersama dalam kerangka BRICS yang baharu ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berkenaan mekanisme yang akan diambil oleh kerajaan supaya penyertaan dalam BRICS memberi manfaat kepada negara.
Perdana Menteri berkata, penyertaan itu tidak bercanggah dengan dasar luar.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan sebagai negara bebas, dan adalah penting untuk menjalinkan hubungan dengan semua pihak.
Anwar berkata, penilaian awal menunjukkan penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi memperoleh pelbagai manfaat, khususnya dalam meningkatkan prestasi perdagangan dan eksport serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
"Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia iaitu hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara-negara G7.
"Kekuatan ekonomi negara anggota BRICS sebagai sebuah blok akan membantu meningkatkan perdagangan antarabangsa dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Perdana Menteri berkata, jumlah populasi yang besar dalam kalangan negara anggota BRICS iaitu seramai 3.21 bilion dan terus meningkat dengan kemasukan Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai seramai 333 juta orang penduduk, membentuk satu pasaran mega merangkumi 3.54 bilion atau hampir 45 peratus penduduk dunia.
"BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi dunia dan ini sudah tentu akan membawa kebaikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya.
Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!