[VIDEO] Peruntukan pembangkang: 'Tak payah berlari, runding sahaja'
KUALA LUMPUR - Rundingan untuk Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak sukar seperti didakwa oleh pemimpin blok berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi mandat sepenuhnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berunding perkara tersebut.
Malah katanya, tiada syarat supaya menyokong beliau untuk mendapatkan peruntukan berkenaan.
“Saya menyeru kepada kepada Yang Berhormat Pendang (Datuk Awang Hashim), kalau boleh sampaikan kepada semua wakil-wakil rakyat parti (pembangkang) dan segerakan perbincangan supaya hal ini tidak memanaskan suhu dewan ini.
“Tak payah berlari, joging ke...tak payah. Runding sahaja, bincang dan selesai,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Awang yang membangkitkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang belum diterima sehingga kini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan inisiatif ‘Langkah Muar’ iaitu berlari sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen sebagai tanda protes terhadap kerajaan berikutan menafikan peruntukan blok pembangkang.
Sementara itu, dalam sesi sama, Syed Saddiq (Muda-Muar) turut meminta petua daripada Anwar berhubung rundingannya untuk mendapatkan peruntukan yang belum selesai.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mendakwa telah dua kali bertemu dengan Fadillah secara bersemuka untuk membincangkan perkara tersebut tetapi belum ada kata putus sehingga kini.
“Saya terima baik kenyataan Perdana Menteri bahawa untuk dapatkan peruntukan yang adil perlunya rundingan. Saya setuju bahawa tidak boleh mana-mana ahli Parlimen yang ego dan sombong untuk berunding bagi bantun dan kebajikan kepada rakyatnya.
“Tapi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya perlukan sedikit petua kerana saya telah pun berunding dengan Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) sebaik sahaja perkara ini dkongsikan pada tahun lepas. Sebanyak dua kali saya berjumpa secara fizikal dan melalui utusan surat sebanyak tiga kali.
“Tapi saya dimaklumkan belum dapat pengesahan daripada Kabinet dan Perdana Menteri. Jikalau saya boleh diberikan petua, kalau bukan di dewan ini, mungkin secara bertulis mungkin ini akan banyak membantu. Itu sahaja,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!