Rumah Putih nafi Biden dirawat untuk penyakit parkinson

Biden. Foto Agensi
Biden. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih pada Isnin menafikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sedang dirawat untuk penyakit parkinson.

Ini selepas rekod pelawat menunjukkan seorang pakar neurologi terkemuka yang pakar dalam penyakit itu mengunjungi rumah eksekutif berkenaan sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan.

Rekod itu yang boleh diakses oleh orang ramai di laman sesawang Rumah Putih, menunjukkan Dr Kevin Cannard mengunjungi rumah berkenaan sebanyak lapan kali dari Ogos 2023 hingga Mac tahun ini.

Tidak jelas sama ada Cannard mengunjungi Rumah Putih dalam tempoh empat bulan lepas, lapor Agensi Anadolu.

Profil LinkedIn Cannard menyatakan beliau seorang pakar neurologi yang "menyokong Unit Perubatan Rumah Putih.”

Satu lagi profil awam di laman rangkaian profesional perubatan Doximity menyatakan Cannard telah mengusahakan terapi untuk penyakit Parkinson peringkat awal.

Pertemuan Cannard di Rumah Putih termasuk satu dengan doktor Biden, Dr Kevin O'Connor di Klinik Kediaman pada Januari, menurut semakan Anadolu terhadap rekod itu.

Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre menafikan bahawa Biden sedang dirawat untuk Parkinson, tetapi beliau enggan menjawab soalan mengenai lawatan itu, malah enggan mengesahkan sama ada Cannard telah mengunjungi kompleks Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

Jean-Pierre memetik apa yang dipanggilnya sebagai hak privasi pelawat.

"Saya tidak boleh dari sini mengesahkan mana-mana perkara itu, kerana kami perlu menjaga privasi mereka. Saya percaya mereka juga akan menghargai itu. Kami perlu menjaga privasi mereka," katanya.

"Tidak kira berapa kuat anda mendesak saya, berapa marah anda dengan saya pun, saya tidak akan mengesahkan nama. Tidak kira sama ada ia ada dalam log. Saya tidak akan melakukannya dari sini. Itu bukan sesuatu yang akan saya lakukan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!