[VIDEO] Pintu pagar semua balai polis ditutup selepas 10 malam - Saifuddin
KUALA LUMPUR - Pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas jam 10 malam sebagai langkah untuk memperketatkan keselamatan di premis berkenaan susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil sebagai mengimbangi keperluan untuk masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.
“Ekoran peristiwa di Balai Polis Ulu Tiram, tindakan segera PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran supaya perbaiki beberapa arahan.
“Susulan isu sama, arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polkis Negara turut memasukkan supaya balai polis ditutup selepas jam 10 malam.
“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan dalam masa sama balai polis juga turut jadi sasaran. Jadi, kita kena imbangi kedua-duanya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS - Serian) mengenai langkah-langkah untuk memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Insiden berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu menyaksikan dua anggota polis terkorban selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala suspek juga meninggal dunia.
Serangan itu juga turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis cedera akibat terkena tembakan di bahu.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai langkah-langkah diambil untuk menghadapi ancaman pengganas, Saifuddin Nasution berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.
Katanya, polis akan akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi memastikan ancaman atau fahaman berbaur pengganas tidak terus tersebar di negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!