Dominic Lau khuatir PM tetap laksana subsidi bersasar RON95 tahun ini

Dominic Lau (gambar kecil) bimbang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap berkeras melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada tahun ini. Gambar hiasan
Dominic Lau (gambar kecil) bimbang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap berkeras melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada tahun ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bimbang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap berkeras melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada tahun ini.

Dominic mendakwa, Anwar mungkin bertindak balas dengan melakukan penyasaran itu tanpa menghiraukan mesej dan kritikan yang disampaikan oleh pengundi Sungai Bakap.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, ahli politik harus menerima kritikan konstruktif.

"Agensi kerajaan tidak boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengkritik kerajaan yang dibina semata-mata atas perjanjian politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sabtu lalu, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi.

Calon PN daripada Pas, Abidin Ismail menang dengan 14,489 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berpandangan, sudah menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila rakyat tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan akan emosi dan menggunakan kata-kata yang keras dalam mengkritik kerajaan.

Dakwa beliau, apabila menjadi Perdana Menteri, Anwar dilihat tidak dapat menerima kritikan daripada rakyat walaupun Ahli Parlimen Tambun itu dahulu sering mengkritik pihak lawan ketika berada di pihak pembangkang dengan sindiran, ejekan dan hinaan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Anwar dalam temu bual dengan empat stesen televisyen tempatan pada 1 Mei lalu mengatakan bahawa beliau dan kerajaan boleh menerima apa-apa sahaja kritikan. Namun, baru dua bulan berlalu, beliau kini dilihat kembali mengalami 'amnesia selektif'.

"Daripada percakapan Anwar, dapat dilihat bahawa apabila seseorang itu berada di kedudukan yang berbeza, pemikiran dan sikap mereka juga berubah," dakwanya lagi.

Dominic turut mempersoalkan sikap Perdana Menteri terhadap rakan-rakan dalam parti gabungan kerajaan yang menghentam pihak lain.

"Jika dibandingkan dengan Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai 'Superman Hew' yang dahulu berkempen untuk DAP menggunakan kata-kata yang kasar dan mengutuk orang lain, Anwar tidak pula merasakan tindakan rakan-rakannya itu salah. Kini, rakyat hanya menyatakan beberapa perkataan untuk meluahkan ketidakpuasan hati, adakah yang ini tidak boleh diterima?" soal beliau.

Justeru, Dominic menasihatkan Perdana Menteri agar tidak kecil hati dan menerima nasihat rakyat dengan hati terbuka.

"Saya nak ingatkan semua ahli politik bahawa kritikan adalah permainan dalam dunia politik. Jadi seperti pepatah Melayu 'Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!