Pekebun rugi tanaman tembikai diserang kutu trip

Wan Basiron (kiri) dan Nik Muhamad Saifullah menunjukkan tanaman tembikai yang diusahakan di TKPM Rhu Tapai di Setiu terbantut dan tidak mengeluarkan hasil selepas diserang serangga perosak.
Wan Basiron (kiri) dan Nik Muhamad Saifullah menunjukkan tanaman tembikai yang diusahakan di TKPM Rhu Tapai di Setiu terbantut dan tidak mengeluarkan hasil selepas diserang serangga perosak.
A
A
A

SETIU - Beberapa pekebun yang mengusahakan tanaman tembikai di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini berdepan kerugian apabila kebun yang diusahakan diancam serangan kutu trip.

Nik Muhamad Saifullah Nik Ismail, 31, berkata, serangan serangga perosak itu telah dikesan sejak peringkat pertama tanaman itu iaitu pada Januari hingga April lalu.

Menurutnya, masalah itu semakin ketara apabila memasuki peringkat kedua tanaman yang diusahakan di luar musim apabila kebanyakan pokok yang ditanam tidak berbuah dan mati.

"Kita sedar terdapat serangan kutu trip ini sejak musim pertama tanaman pada Januari lalu namun ketika itu kerosakan tanaman tidak begitu ketara.

"Apabila kita tanam untuk musim kedua atau digelar tanaman di luar musim, serangan serangga ini menjadi semakin serius dan banyak pokok yang telah mati serta tidak dapat mengeluarkan hasil," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Wan Basiron menunjukkan pokok tembikai yang mula mati akibat diserang kutu trip.
Wan Basiron menunjukkan pokok tembikai yang mula mati akibat diserang kutu trip.

Nik Muhamad Saifullah memberitahu, kerosakan ketara mungkin berlaku disebabkan telur atau larva serangga yang ditinggalkan di kawasan kebun berkenaan telah mula menetas dan membiak.

"Walaupun serangga ini sudah ada pada musim pertama, tanaman tembikai ketika itu tidak berdepan masalah, namun ketika ini dianggarkan kira-kira 30 peratus daripada pokok tembikai yang ditanam di tanah seluas tujuh hektar telah terjejas dan mati.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, saya terpaksa membuang tanaman yang rosak kerana kita khuatir ia akan merebak ke kawasan yang lebih luas," ujarnya.

Menurut Nik Muhamad Saifullah, sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 diperuntukkan bagi satu hektar tanaman tembikai.

"Kalau saya tak ambil langkah awal untuk menangani serangan kutu ini saya akan berdepan kerugian yang tinggi dan semua modal yang dikeluarkan akan hangus begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekebun, Wan Basiron Wan Bakar, 52, berkata, kehadiran serangga perosak itu menyebabkan pekebun terpaksa menambah modal untuk membeli racun di samping perlu memperuntukkan wang untuk membeli benih dan baja.

"Buat masa ini saya terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli racun serangga sebagai langkah pencegahan bagi menyelamatkan pokok-pokok yang masih belum dijangkiti oleh serangan serangga.

"Sekiranya serangan telah mencapai tahap 50 peratus, keseluruhan tanaman terpaksa dilupuskan dan pekebun perlu menanggung kerugian yang lebih besar musim ini, " katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!