Kes dadah paling banyak libatkan kanak-kanak di Perak
IPOH - Kes berkaitan dadah merupakan kesalahan jenayah tertinggi direkodkan melibatkan kanak-kanak di Perak bagi tempoh tahun 2022 sehingga 19 Jun 2024.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebanyak 85 kes yang dicatatkan bagi kesalahan dadah oleh kanak-kanak diikuti jenayah berkaitan manusia sebanyak 84 kes diikuti jenayah harta benda (76 kes), lalu lintas (56 kes) dan lain-lain (29 kes).
Menurutnya, selain itu kesalahan judi dalam kalangan kanak-kanak turut dicatatkan sebanyak lapan kes diikuti Akta Kesalahan Kecil sebanyak tiga kes, senjata atau bahan api dan Kesalahan Akta Kanak-Kanak masing-masing satu kes.
"Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak berkenaan statistik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah, mencatatkan sebanyak 343 kes pada tahun 2022 sehingga 19 Jun 2024.
"Daripada jumlah itu penyumbang kes mengikut jantina pula membabitkan 314 kes dilakukan kanak-kanak lelaki, manakala 29 kes pula melibatkan kanak-kanak perempuan," katanya ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Sementara itu Salbiah berkata, dalam tempoh yang sama juga sebanyak 1,189 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan akibat penderaan.
Menurutnya, berdasarkan jenis penderaan yang direkodkan JKM, kes pengabaian paling tinggi iaitu sebanyak 449 kes diikuti seksual berjumlah 303 kes dan lain-lain sebanyak 188 kes.
Jelasnya, kes kanak-kanak yang dibuang pula mencatatkan sebanyak 26 kes serta penderaan emosi sebanyak 31 kes.
Sementara itu, Salbiah berkata, dasar kerajaan Perak terhadap perlindungan dan keselamatan kanak-kanak adalah selari dengan dasar yang diimplementasi oleh kerajaan persekutuan seperti Dasar Kanak-Kanak Negara (DKKN) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara (DPKKN) yang telah dihasilkan pada tahun 2009.
"Bagi tahun 2024, sebanyak 300 siri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak telah dirancang di seluruh negara termasuk negeri Perak dengan pelaksanaan 30 siri.
"Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat tentang tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya berhadapan dengan masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!