Tiada kenaikan harga ais di Negeri Sembilan

Peniaga perlu memainkan peranan untuk maklumkan kepada KPDN sekiranya ada pihak lain mengambil kesempatan menaikkan harga ais.Gambar hiasan
Peniaga perlu memainkan peranan untuk maklumkan kepada KPDN sekiranya ada pihak lain mengambil kesempatan menaikkan harga ais.Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Peniaga dinasihatkan mengemukakan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan sekiranya berlaku kenaikan harga ais oleh pembekal di negeri ini.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, setakat ini tiada aduan kenaikan harga ais sehingga 30 sen seperti didakwa peniaga minuman dan makanan di media sosial, baru-baru ini.

"Kami sudah membuat pemeriksaan ke atas sebuah syarikat pengilang ais di Seremban susulan dakwaan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut masih menjual ais pada harga lama.

"Pemeriksaan ke atas lori yang digunakan bagi menghantar ais kepada pelanggan juga mendapati ia sudah didaftarkan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)," katanya pada Selasa.

Muhammad Zahir
Muhammad Zahir

Ujarnya, berdasarkan semakan lanjut, pengilang itu masih mengekalkan harga lama iaitu dari RM3 hingga RM3.15 bagi 15 kilogram pek ais selain belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menaikkan harga ais.

"KPDN turut memberi amaran kepada syarikat terbabit supaya tidak menaikkan harga ais tanpa sebarang alasan munasabah.

"Bagaimanapun, kami masih melakukan siasatan bagaimana berlaku kenaikkan harga daripada RM4 sehingga RM4.50 seperti didakwa peniaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan harga pada peringkat pengilang adalah seperti dinyatakan dan peniaga perlu memainkan peranan untuk maklumkan kepada KPDN sekiranya ada pihak lain mengambil kesempatan menaikkan harga ais.

"Sekiranya peniaga merasakan berlaku kenaikan harga oleh pembekal, kemukakan aduan kepada KPDN berserta resit pembelian," katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan harga ais naik 30 sen menjadi RM4.30 berbanding RM4 sebelumnya yang didakwa memberi kesan kepada harga jualan minuman.

Mereka turut mendakwa harga berkenaan tidak wajar susulan lori yang digunakan mendapat subsidi diesel kerajaan.

Bagaimanapun hasil carian Sinar Harian di media sosial setakat ini mendapati dakwaan yang tular itu dipercayai telah diturunkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!