[VIDEO] Dadah dijual seperti pisang goreng di Sabah kenyataan keterlaluan - Polis

A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah menganggap kenyataan bahawa dadah dijual seperti pisang goreng di negeri ini adalah kenyataan yang keterlaluan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ia dapat dilihat menerusi statistik jumlah tangkapan melibatkan kes berkaitan dadah meningkat selain berjaya mengenal pasti kaedah baharu dadah jenis syabu dijual dalam bentuk cecair di negeri ini.

Menurutnya, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi enam bulan pertama tahun ini merekodkan seramai 8,993 pesalah narkotik telah ditangkap di negeri ini.

"Daripada jumlah itu sebanyak 88 peratus telah dibuat pertuduhan di mahkamah dan jumlah 8,993 pesalah itu merupakan tangkapan daripada operasi yang dilakukan secara berterusan oleh JSJN dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sabah.

"Menerusi tangkapan itu juga kita telah melakukan rampasan sebanyak 85 kilogram dadah iaitu kalau mengikut pecahan syabu merupakan penyumbang utama kepada rampasan ini, kira-kira 71 kilogram.

"Pada tahun ini juga kita telah berjaya membuat tangkapan syabu baharu iaitu dalam bentuk cecair iaitu sebanyak 1.4 kilogram," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Selasa.

Menurut beliau lagi, jumlah keseluruhan tangkapan dari segi pecahan memiliki dadah juga adalah seramai 2,588 orang dan jumlah positif mengambil dadah seramai 5,766 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 orang telah kita buat pertuduhan atau diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

Artikel Berkaitan:

Jauteh (tengah) menunjukkan hasil tangkapan dadah yang berjaya dilakukan Polis Kontinjen Sabah dalam operasi yang dilaksanakan secara berterusan.
Jauteh (tengah) menunjukkan hasil tangkapan dadah yang berjaya dilakukan Polis Kontinjen Sabah dalam operasi yang dilaksanakan secara berterusan.

"Di samping itu, daripada jumlah ini juga seramai 367 orang telah kita tuduh di bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana ini merupakan satu Seksyen yang menghukum atau memperuntukkan hukuman kepada pesalah dadah secara berulang lebih dari tiga kali," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan hasil kejayaan tangkapan dan rampasan menunjukkan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memerangi isu dadah di negeri ini.

"Sebab kalau kita bandingkan jumlah tangkapan tahun ini berbanding tahun lepas, tahun ini lebih ramai tangkapan berbanding tahun sebelumnya.

"Jadi kalau ada berita mengatakan bahawa dadah ini dijual seperti pisang goreng di Sabah, itu merupakan satu kenyataan yang keterlaluan.

"Kita sentiasa berusaha untuk memaksimumkan tindakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam isu berkaitan dengan dadah, ertinya kita tidak berhenti tanggani isu ini," katanya.

Pada minggu lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang Parlimen mendakwa banyak penagih syabu di Kinatangan, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Beliau turut mendakwa syabu dijual seperti pisang goreng di mana-mana tempat di Sabah dengan harga serendah RM30 dan mempersoalkan di mana pihak penguatkuasa dalam menangani isu dadah berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!