56 ajaran difatwakan sesat di Wilayah Persekutuan

Mohd Na’im (tengah) merasmikan Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah pada Selasa.
Mohd Na’im (tengah) merasmikan Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 56 ajaran dan fahaman telah difatwakan sebagai sesat serta menyeleweng dari ajaran Islam sebenar di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, antaranya Ajaran Ahmadiah atau Qadiani (2004), Ajaran Salah Haji Kahar bin Haji Ahmad Jalal (2006), Tariqat Zikrullah Hassan Anak Rimau dan Ayah Pin (2007), Syiah (2015), Millah Abraham (2016), Hizbut Tahrir (2018) dan Ajaran Makrifat Mohd Yusof Cik Wook (2022).

Menurutnya, Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diadakan pada Selasa menjadi platform memberikan kesedaran, kefahaman, dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Konvensyen sehari ini bertemakan Merungkai Rahsia Di Sebalik Fenomena Akhir Zaman berlangsung di Dewan Syarahan Masjid Negara Kuala Lumpur.

"Ia menjadi menjadi platform kefahaman dan benteng kepada ancaman pelbagai ajaran serta kepercayaan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar," katanya pada konvensyen tersebut yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Antara peserta yang hadir pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Antara peserta yang hadir pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya.

Konvensyen tersebut dihadiri oleh 300 peserta terdiri wakil agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Mufti Negeri-Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pelajar universiti awam dan swasta juga badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Katanya, konvensyen kali ini membincangkan topik hakikat sebenar Imam Mahdi menurut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Peserta turut diberikan pendedahan mengenai dakwaan dan pengakuan individu atau kumpulan ajaran tertentu yang mengaku secara langsung sebagai Imam Mahdi melalui penyebaran fahaman seperti ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light dan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

"Konvensyen juga bertujuan mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan dari segi akidah, syariah, dan pemikiran yang berpotensi menggugat perpaduan dan keharmonian ummah lebih-lebih lagi yang tersebar melalui media sosial," katanya.

Katanya, selain memperkukuhkan kefahaman melalui konvensyen tersebut, Jawi turut melaksanakan aktiviti pemantauan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] bagi mengelakkan umat Islam terjerumus dalam kesesatan dan penyelewengan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!