Bekas anggota Rela dipenjara 30 tahun bunuh jiran

Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu pada Selasa.
Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhi hukuman penjara 30 tahun ke atas bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selepas mengaku bersalah menembak mati bekas Ketua MCA Bahagian Marang tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Ong Chow Lee, 59, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Fong Swee Fuan yang ketika itu berusia 65 tahun di sebuah bangsal di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang jam 1.55 petang pada 23 Julai 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku salah melakukan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan seorang lagi mangsa iaitu Teo Hock Beng, 45, yang terkena tembakan ketika kejadian di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Tertuduh dihukum penjara selama 30 tahun bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua tertuduh berdepan hukuman penjara selama 13 tahun.

Artikel Berkaitan:

Hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkapan pada 23 Julai 2021.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Allias, Abdul Hayyi Salim dan Diyana Ibrahim.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak dipercayai menggunakan senapang patah oleh jirannya dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, di Marang.

Mangsa yang cedera pada bahagian dada maut di lokasi kejadian manakala anak saudaranya mengalami kecederaan pada bahagian badan.

Suspek yang melarikan diri menaiki sebuah jip berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun kira-kira jam 4.20 petang hari yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!