Rasuah AMLA projek Jana Wibawa: Adam Radlan kemuka representasi

Adam Radlan (dua dari kiri) yang menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Adam Radlan (dua dari kiri) yang menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan yang mewakili Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa bahawa Adam Radlan Adam Muhammad telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu lalu.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, tidak mendedahkan butiran laporan berkenaan ketika prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Rajan berkata, representasi tersebut ialah membabitkan lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan tujuh kes pengubahan wang haram (AMLA).

Menurutnya, pembelaan telah menghantar dokumen terbabit kepada AGC pada Khamis lepas.

Katanya, pihak pendakwaan mungkin memerlukan masa untuk meneliti serta mengkaji representasi terbabit.

“Kami memohon penangguhan perbicaraan kes dan saya percaya, pendakwaan memerlukan masa sebulan.

“Ini merupakan representasi pertama Adam Radlan, maka tempoh sebulan adalah munasabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen terbabit pada Jumaat minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji permohonan terbabit sebelum dirujuk kepada AGC.

“Kami mohon masa selama sebulan jika diizinkan,” katanya dengan menambah, pendakwaan tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan sepanjang bulan ini.

Hakim ini menetapkan keputusan representasi pada 6 Ogos depan namun sekiranya representasi ditolak, mahkamah mengarahkan perbicaraan dibuat pada 7 Ogos.

Dalam pada itu, mahkamah memutuskan tarikh tambahan prosiding ialah pada 13 November depan, disusuli pada tahun hadapan bermula 15 Januari; 19, 20, 24, 25 Mac; 16, 17 Jun, 1 hingga 3 Julai dan 4, 6, 11, 12 dan 13 Ogos.

Dalam pada itu, semasa perbicaraan hari pertama kes itu, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R Harshini, 34, mengesahkan bahawa Adam Radlan merupakan pengarah dan pemegang saham bagi syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd.

Semasa membaca pernyataan saksi, beliau berkata, tertuduh menjawat jawatan itu bermula tarikh lantikan pada 9 Oktober 2013 hingga 25 Januari 2023.

"Saya sahkan bahawa dokumen maklumat pengarah dan pemegang saham atas nama Bayu Bumiraya iaitu Adam Radlan," katanya.

“Saya juga sahkan, dokumen maklumat pengarah bagi syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd ialah Mat Jusoh Mamat dan Zarinah Hamzah, manakala dua pengarah Nepturis iaitu Aliza Abdul Malek dan Mohd Rizman Akum Khan, bagi pengarah syarikat Metrasys adalah Lian Tan Chuan dan Lim Mei Koon," kata saksi pendakwaan pertama itu.

Tiga syarikat itu didakwa berkaitan pertuduhan yang dihadapi Adam Radlan.

Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!