[VIDEO] Empat beradik, rakan didakwa pukul lelaki hingga parah

A
A
A

MELAKA - Empat beradik dan seorang rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki tahun lalu.

Tertuduh, Azlan Ahmad, 39, dan empat beradik, Amranshah Makbolshah, 45, Azalan Shah, 41, Adanan Shah, 42, dan Amir Shah, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan cedera parah ke atas Azlanee Mamat, 53.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di hadapan medan selera Pantai Peringgit di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada 13 Jun tahun lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Lima individu termasuk empat beradik ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Selasa.
Lima individu termasuk empat beradik ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Selasa.

Difahamkan, insiden pergaduhan itu berlaku apabila kesemua tertuduh tidak tahan dengan bunyi ekzos motosikal anak mangsa yang bising.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM7,000.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam, Zahidah Md Zaman yang mewakili semua tertuduh dalam hujahnya berkata, jumlah jaminan tersebut terlalu tinggi dan di luar kemampuan anak guamnya yang ada antaranya bergelar asnaf dan berniaga burger malah tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hujahnya lagi, mereka juga hanya mampu membayar wang jaminan RM1,000 dan khidmat guaman yang ditawarkannya juga tidak dikenakan bayaran.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka diikat jamin sebanyak RM2,500 selain menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 22 Ogos depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!