HRD Corp: SPRM akan panggil beberapa saksi

SPRM pada Selasa hadir ke Kesuma bagi mendapatkan dokumen susulan isu membabitkan HRD Corp. Foto Bernama
SPRM pada Selasa hadir ke Kesuma bagi mendapatkan dokumen susulan isu membabitkan HRD Corp. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kehadiran pasukan siasatannya ke Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi mendapatkan dokumen diperlukan pada Selasa.

Beliau berkata, fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

"SPRM telah hadir di Kesuma dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen-dokumen untuk siasatan pada tengah hari, hari ini (Selasa). Fokus siasatan adalah tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

"Setakat ini belum ada saksi yang dirakam percakapan tetapi SPRM tidak menafikan akan memanggil saksi-saksi dalam masa terdekat selepas semakan dokumen dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, menurut sumber, pasukan khas itu telah hadir di dua pejabat tersebut pada pagi Selasa untuk mendapatkan beberapa dokumen berkaitan pelaburan.

"SPRM akan meneliti sejauh mana kesahihan pelaburan yang dibuat dan adakah ia dibenarkan.

"SPRM akan meneliti terlebih dahulu dokumen yang diperoleh sebelum tindakan lanjut termasuk rekod keterangan saksi berkaitan dibuat," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan 10 individu dipercayai pegawai penyiasat SPRM tiba di pejabat HRD Corp di Jalan Beringin di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Lima pegawai yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu tiba jam 11.30 pagi menaiki dua kenderaan berasingan, sementara lima lagi pegawai SPRM tiba sekitar jam 11.39 pagi menaiki dua kenderaan berasingan.

Difahamkan, kehadiran kumpulan pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Sabtu lalu, SPRM mengesahkan telah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee pada Jumaat lalu.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pula antara lain mendedahkan sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!