Seludup 15kg ulat sutera Vietnam dalam bagasi
BAYAN LEPAS – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk ulat sutera tanpa permit import di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pada Selasa.
Maqis Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, ulat sutera seberat 15 kilogram (kg) itu dirampas di pintu masuk LTAPP ketika dibawa dari Vietnam.
Menurutnya, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan ke atas bagasi seorang penumpang dari Vietnam yang baru tiba di negeri ini.
"Pemeriksaan mendapati bagasi tersebut mengandungi sebanyak 15 kg ulat sutera yang cuba dibawa masuk ke dalam negara ini.
"Ulat sutera itu dirampas mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana dibawa masuk ke dalam negara tanpa kelulusan dan dokumen permit import yang sah," katanya pada Selasa.
Maqis Pulau Pinang menambah, perbuatan mengimport atau membawa masuk keluaran hasilan pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh di hukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!