Kerajaan perlu gantung pengecualian visa kepada pelancong China: Najib
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendirian Malaysia perlu menggantung sementara pengecualian visa untuk pelancong negara China bagi satu tempoh yang munasabah.
Menurutnya, tindakan tersebut diperlukan berikutan penularan wabak koronavirus yang sedang melanda wilayah tengah China ketika ini.
Katanya lagi, penggantungan itu juga bagi memastikan kemasukan mereka (ke Malaysia) dikawal sepenuhnya dan diperiksa dengan lebih teliti terutama status kesihatan.
“Sambil kita mengambil kira terhadap sektor pelancongan yang bakal terjejas jika kesemua pelancong dari negara itu disekat terus, kita juga perlu ambil kira keselamatan rakyat negara ini.
“Jutaan rakyat Malaysia bergantung terhadap sektor pelancongan. Melalui penggantungan visa ini, kita akan dapat pengawalan lebih baik terhadap pelancong yang akan masuk. Tempoh memohon visa ini juga akan menyekat mereka yang baru dijangkiti virus, tetapi masih tidak ada tanda-tanda sakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Najib lagi, kerajaan perlu lebih serius terutama dalam meningkatkan jumlah mesin pengimbas suhu di pintu masuk negara ini sama ada udara mahupun darat.
Selain itu, pihak berkuasa mesti telus dan pantas untuk mengumumkan kepada umum mengenai perkembangan terbaru wabak berkenaan.
“Kebimbangan dan kesihatan rakyat perlu diutamakan. Ini bukan kali pertama Malaysia menghadapi ancaman seperti ini.
“Pada tahun 1998, kita juga menghadapi wabak virus Nipah yang berasal dari negara kita sendiri. Pada tahun 2003, kita juga berjaya mengatasi virus SARS yang berasal dari China,” katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menasihati rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak berkunjung ke tempat-tempat awam yang ada ramai pelancong buat sementara waktu jika tidak ada keperluan mendesak.
“Saya juga berterima kasih kepada anggota jabatan kesihatan yang bertungkus lumus bertugas di pintu masuk negara ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Koronavirus: Mayat pesakit tersadai di koridor hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!