Bank Rakyat, SPNB jalin kerjasama bantu golongan berpendapatan rendah miliki rumah

Dari kiri: Mohammad Hanis Osman, Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin ketika Majlis Jalin Kolaborasi Bank Rakyat bersama SPNB pada Selasa.
Dari kiri: Mohammad Hanis Osman, Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin ketika Majlis Jalin Kolaborasi Bank Rakyat bersama SPNB pada Selasa.
A
A
A

BANK Rakyat dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menjalin kerjasama strategik menerusi Program Rumah Mesra Rakyat bagi membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri dengan langganan produk Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, program tersebut menyasarkan golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri.

Menurutnya, SPNB menawarkan harga pembinaan rumah bermula daripada RM75,000 dan pelanggan akan menerima subsidi kerajaan berjumlah RM20,000 dan baki sebanyak RM55,000 boleh diperoleh menerusi pembiayaan Bank Rakyat.

“Pembiayaan Perumahan-i, Bank Rakyat menawarkan margin pembiayaan sehingga 95 peratus dengan kadar pembiayaan serendah 4.45 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

“Pembiayaan Peribadi-i, Bank Rakyat menawarkan kadar serendah 2.89 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun menerusi tiga kaedah bayaran fleksibel iaitu potongan gaji melalui Biro Angkasa (BPA), potongan gaji majikan dan pindahan gaji ke Bank Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Irwan, inisiatif itu bukan sahaja mampu membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah malah mengembangkan pilihan kewangan mereka serta memudahkan pemilikan kediaman.

Jelasnya, ia yang merupakan aspek keselamatan sosial sebagai elemen penting dalam kestabilan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keterjaminan kualiti kehidupan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, pendekatan berkenaan membuktikan Bank Rakyat bukan sahaja komited menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen, bahkan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Bank Rakyat mengalu-alukan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat.

“Ini merupakan peluang untuk merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan menerusi kemudahan pembiayaan yang ditawarkan,” ujarnya.

Pelanggan yang berminat untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat ini, boleh layari www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 serta kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran untuk maklumat lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!