'Kalau kerajaan saya tidak baik, saya lanyak saja' - Bung Moktar
KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau akan terus bersuara jika kerajaan gagal menyelesaikan masalah rakyat terutama di negeri ini.
Katanya, beliau tidak akan mengampu mana-mana menteri di peringkat Persekutuan walaupun berada di blok kerajaan sebaliknya hanya mahu menyelesaikan isu rakyat.
"Waktu di Parlimen, saya pun dalam kerajaan. Tetapi apabila kerajaan saya tidak baik, saya lanyak saja, saya tidak peduli.
"Saya pilih rakyat, menyelesaikan masalah rakyat daripada mengampu mana-mana menteri dalam Persekutuan. Itu bukan kerja saya, kerja saya menyelesaikan masalah rakyat sebab itu janji saya untuk menyertai politik," katanya dalam sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Selasa.
Dalam sesi perbahasan itu, Bung Moktar mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai komitmen yang serius untuk menangani isu air di Sabah.
"Saya tidak nampak komitmen yang serius daripada kerajaan untuk menangani isu air di Sabah ini, sedangkan isu air bukan lagi tidak diketahui ramai, kita telah melihat rintihan rakyat menangis sana sini.
"Pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sehingga buat demonstrasi tetapi seolah-olah kerajaan negeri melihat perkara ini tidak berlaku, saya tidak tahu apa dalam hati mereka.
"Baru-baru ini laporan ketua audit negara menyatakan bahawa Sabah adalah negeri mempunyai liputan air terawat terendah di seluruh negara, pengurusan air tidak terhasil (NRW) menjangkau 61.5 peratus.
"Jadi saya mahu tahu apa yang dirancang oleh kerajaan GRS hari ini untuk memastikan masalah air dapat diatasi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!