Syor tubuh Badan Pengawasan Pemantauan Boikot elak tersalah boikot
SHAH ALAM - Persidangan tertutup Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melibatkan pakar dalam pelbagai bidang mencapai kesepakatan memboikot syarikat yang menyokong dan mendokong rejim zionis Israel melakukan genosid terhadap penduduk Palestin secara langsung.
Bagi syarikat yang tidak terlibat secara langsung seperti francais antarabangsa yang beroperasi di Malaysia, ia perlu dilihat dari segi impak ekonomi membabitkan kerugian, pendapatan dan pekerja kebanyakan umat Islam.
Syarikat francais antarabangsa yang dimiliki rakyat tempatan juga sewajarnya mengambil sikap dan pendirian yang jelas menentang genosid terhadap rakyat Palestin bagi mengelakkan persepsi salah atau dilihat bersekongkol.
Persidangan tersebut turut mencadangkan penubuhan Badan Pengawasan Pemantauan Boikot yang bebas untuk meneliti dan menyemak kewajaran boikot terhadap sesuatu produk atau syarikat sekiranya benar terlibat menyokong kezaliman serta salah laku.
Ini bagi mengelak orang awam membuat keputusan sendiri tanpa ada kajian dan penelitian terperinci sebaliknya berdasarkan emosi serta persepsi tidak tepat sehingga menyebabkan berlaku kezaliman dan penganiayaan terhadap syarikat terbabit.
Menurut Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, sembilan perkara dipersetujui hasil Persidangan Meja Bulat Berhubung Pandangan Islam Terhadap Isu Boikot anjuran dua pusat akademik IKIM iaitu Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak) serta Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas).
Katanya, persidangan pada 27 Jun lalu itu bertujuan mendapatkan pandangan pakar dan pemain industri untuk membuat satu saranan terbaik kepada pihak berkuasa serta masyarakat Islam berkaitan isu boikot.
“Kami sepakat bahawa kekejaman terhadap penduduk Islam di Gaza dan Palestin merupakan suatu kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang perlu ditentang habis-habisan.
“Apa jua bantuan dan pertolongan yang boleh diberikan hendaklah dihulurkan, dan apa jua pendekatan yang boleh membantu menghalang, mengekang dan menyusahkan rejim zionis Israel daripada terus melakukan kezaliman tersebut hendaklah diambil.
“Pemboikotan ekonomi bukan suatu yang bersifat qati’e tetapi bersifat ijtihadi dalam usaha memelihara keimanan umat Islam dan penguatkuasaannya tertakluk kepada pemerintah (Ulil Amri) di bawah umat Islam bernaung pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, persidangan tersebut bersetuju dan diakui tindakan memboikot bukan sesuatu yang asing dalam tradisi ajaran Islam bahkan pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai bentuk.
Menurutnya, ada dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang diperintahkan oleh ALLAH untuk diboikot seperti kisah tiga orang sahabat tidak menyertai Peperangan Tabuk.
“Justeru secara umumnya pemboikotan adalah sesuatu yang dibolehkan (harus) hukumnya, namun mestilah memenuhi syarat-syaratnya agar tidak terjerumus ke arah kezaliman kepada pihak-pihak tertentu.
“Tindakan pemboikotan bukan berdasarkan emosi melulu sebaliknya atas pertimbangan fiqh al-muwazanah iaitu mengambil kira kesan kebaikan-keburukan (maslahah-mafsadah) yang menimpa umat Islam atau dalam istilah ekonomi disebut cause-benefit analysis.
“Umat Islam dalam masa yang sama untuk jangka masa panjang perlu bersatu, menguasai ekonomi dan mengambil alih syarikat-syarikat besar yang dikuasai syarikat asing sama ada secara langsung atau tidak langsung menyokong atau ada kaitan dengan rejim zionis Israel,” ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam perlu ada usaha giat menyediakan sendiri barangan keperluan dan perkhidmatan dengan mengurangkan pergantungan kepada pengeluar atau negara bukan Islam.
Menurutnya, golongan agamawan pula perlu cermat dalam mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak disalah-anggap sebagai menyokong pengeluar yang tidak sensitif terhadap kesucian agama Islam.
“Begitu juga, tidak mengeluarkan kenyataan memboikot sewenang-wenangnya dikhuatiri akan terjerumus ke arah kezaliman terhadap pihak-pihak tertentu,” tambah beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!