Lemon Law: Kerajaan tumpu penyelesaian pertikaian antara pengguna, syarikat automotif
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpukan penyelesaian pertikaian antara pengguna dan syarikat automotif dalam mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ciri tersebut antara perkara diberi keutamaan dalam skim baharu yang bakal diwujudkan nanti.
"Untuk makluman Yang Berhormat juga, elemen penyelesaian pertikaian alternatif yang merupakan antara ciri utama dalam skim ombudsman kini sedang dirintis oleh KPDN sebagai kaedah penambahbaikan serta-merta dan langkah interim.
"Ini dilaksanakan melalui penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.
"Kaedah yang digunakan adalah rundingan ‘Tripartite’ antara kementerian, pembeli kereta (pengguna) dan pengedar atau pengilang," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Syahredzan Johan (PH-Bangi) di Kamar Khas Dewan Rakyat pada Selasa yang membahaskan tajuk 'Ombudsman Motor untuk Memastikan Keberkesanan Lemon Law'.
Tambah Armizan, melalui platform rundingan khas ini, disasarkan akan dapat mencari solusi yang adil dan seimbang untuk semua pihak.
Ini sekali gus katanya, dapat mengurangkan kos dan tempoh penyelesaian sebagai alternatif kepada proses mahkamah dan tatacara perundangan lain.
Armizan dalam persidangan Dewan Rakyat minggu lalu memaklumkan kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law dijangka selesai pada bulan September ini.
Ujarnya, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan dalam membuat keputusan dasar.
Lemon Law merujuk kepada undang-undang yang melindungi pembeli barang pengguna, khususnya kenderaan berkaitan produk yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.
Undang-undang ini bagi memastikan pembeli boleh mendapatkan penggantian atau bayaran balik bagi produk yang dianggap ‘lemon’ atau produk cacat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!