KPDN rampas kapal tunda seleweng minyak diesel

Saharuddin (tengah) memeriksa lori tangki yang dirampas KPDN Terengganu.
Saharuddin (tengah) memeriksa lori tangki yang dirampas KPDN Terengganu.
A
A
A

KEMAMAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel berjumlah kira-kira 50,000 liter menerusi satu serbuan yang dijalankan di sebuah jeti berdekatan Sungai Kuang, Chukai, di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan oleh seramai tujuh orang pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama tujuh orang pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, ia adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama sebulan sebelum serbuan dijalankan.

"Sebuah kapal tunda dan lori tangki masing-masing dengan muatan minyak diesel 40,000 liter dan 10,000 liter telah berjaya dirampas oleh KPDN Terengganu.

"Hasil maklumat awal yang diterima, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda.

"Minyak tersebut kemudiannya akan dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kapal dan lori tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel.

Saharuddin (tengah) melakukan lawatan di tempat serbuan sindiket penyelewengan minyak diesel berjumlah kira-kira 50,000 liter.
Saharuddin (tengah) melakukan lawatan di tempat serbuan sindiket penyelewengan minyak diesel berjumlah kira-kira 50,000 liter.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyatakan dianggarkan semasa serbuan dijalankan terdapat lebih kurang 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal tunda ke lori tangki menggunakan paip saluran getah.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM863,500," ujarnya.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, empat orang lelaki warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berumur lingkungan 30-an hingga 40-an telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes tersebut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Kita juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!