Permohonan BINGKAS tak lulus sebab sokong pembangkang - Harrison

Harrison dalam sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal RS1 semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.
Harrison dalam sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal RS1 semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan mendedahkan terdapat banyak aduan daripada pemohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) tidak diluluskan permohonan disebabkan hanya mereka menyokong pembangkang.

Harrison berkata, kebanyakan pemohon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram kecewa apabila permohonan mereka tidak diproses untuk dipertimbangkan sebagai penerima bantuan meskipun telah menepati kriteria ditetapkan.

"Bagaimanakah usaha kerajaan negeri dalam menangani soal kemiskinan relatif ini dapat diteruskan sekiranya isu sekecil permohonan BINGKAS ini pun masih terbelenggu dalam ‘mindset’ lama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Satu (RS1) semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.

Menurut beliau, informasi berkaitan bantuan atau inisiatif kerajaan negeri juga tidak dapat disampaikan secara jelas kepada rakyat yang memerlukan kerana adanya tapisan maklumat kepada ADUN pembangkang.

"Merujuk ucapan perbahasan saya dalam sidang sebelum ini, sekali lagi saya ulangi pendirian bahawa sekatan yang diletakkan terhadap ADUN pembangkang sama sekali tidak akan membantu merealisasikan apa jua aspirasi murni kerajaan hari ini," ujar beliau.

Beliau memberitahu, wujud kemungkinan sesetengah pihak berpendapat penglibatan ADUN pembangkang tidak relevan kerana adanya penyelaras DUN.

"Saya bukanlah ingin meminta untuk diberikan peruntukan atau kuasa lebih besar, tetapi sekurang-kurangnya biarlah komunikasi dan penyampaian maklumat tentang skim bantuan kerajaan negeri ini melibatkan juga pejabat dan pusat-pusat khidmat ADUN pembangkang supaya usaha ini dilipatgandakan agar hebahan sampai ke bawah," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Harrison memberitahu, isu kemiskinan perlu diberi tumpuan serius kerajaan negeri berikutan golongan B40 antara teramai di DUN Jeram.

Jelas beliau, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia meletakkan daerah Kuala Selangor dalam kedudukan tiga daerah di negeri ini termiskin dari segi purata pendapatan isi rumah kasar bulanan.

"Sebagai salah seorang wakil rakyat di daerah ini, saya sendiri telah mengusahakan pelbagai inisiatif untuk warga DUN Jeram seperti pengedaran lebih 2,000 kotak makanan kepada golongan rentan dari Ogos 2023 sehingga ke hari ini.

"Namun perlu diakui usaha ini hanya dapat meringankan beban mereka untuk jangka pendek dan sinilah pentingnya peranan Kerajaan Negeri dalam menurunkan kadar kemiskinan relatif melalui RS1," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!