Belanjawan Madani 2025 pacu Malaysia muncul kuasa ekonomi Asia Tenggara - PM Anwar
PUTRAJAYA - Belanjawan Madani 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen Oktober ini, akan terus menumpukan aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani, termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika berkongsi mengenai pembentangan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan kepentingan itu, kerajaan perlu segera memikirkan kaedah untuk merancakkan lagi usaha meningkatkan siling seperti menstruktur semula ekonomi agar negara dapat mengecapi kekayaan lebih besar.
"Kita perlu menstruktur semula ekonomi supaya dapat meraih tahap pencapaian sebagai ekonomi utama di rantau Asia Tenggara,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ di sini pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Mengulas selanjutnya, Anwar berkata, cabaran utama kerajaan adalah untuk menaikkan aspek siling dan lantai negara yang jika tidak seiringan, boleh membebankan rakyat terutama golongan miskin bandar dan pedalaman.
Usaha menaikkan siling itu merujuk kepada penyusunan semula ekonomi bagi membolehkan negara dapat mengecapi lebih banyak kekayaan, manakala lantai menjurus kepada mengutamakan keadilan sosial dalam memastikan kekayaan dapat dikongsi rakyat secara lebih saksama.
"Ini cabaran utama kita. Kita hendak pacu pertumbuhan tapi (jika) masyarakat bawahan ketinggalan, kesan daripada keresahan rakyat terutama di desa, miskin bandar dan di pendalaman mungkin tidak dapat merasakan nikmat perubahan.
"Oleh itu, saya menggesa rakan-rakan terlibat, termasuk agensi penguatkuasaan, (agar) pantas dan berkesan dalam melaksanakan tindakan (berkaitan),” kata Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar turut mengulangi kepentingan untuk Malaysia menjadi anggota dalam blok ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bagi membuka ruang serta menarik pedagang dalam dan luar untuk terus melabur di negara ini.
Bercakap pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini, Perdana Menteri berkata, penilaian awal menunjukkan penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi meraih pelbagai manfaat, khususnya dalam meningkatkan prestasi perdagangan dan eksport serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
"Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia iaitu hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara-negara blok kumpulan G7.
"Kekuatan ekonomi negara anggota BRICS sebagai sebuah blok akan membantu meningkatkan perdagangan antarabangsa dalam kalangan negara anggota,” kata beliau. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!