Rumah terlalu rapat, angin kuat punca api cepat merebak
KOTA BELUD - [DIKEMAS KINI] Jarak rumah terlalu rapat, selain angin kuat menyebabkan api merebak dengan pantas sekali gus memusnahkan sekurang-kurangnya 18 rumah dalam kebakaran di Kampung Kuala Abai di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, seramai 18 anggota termasuk dari BBP Tuaran bersama empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulambai dan Pangkalan Abai dikejar ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian.
"Setakat ini, kebakaran melibatkan 18 rumah jenis separuh kekal berbanding sebelumnya hanya 10 rumah dikenal pasti musnah.
"Kita berjaya menyelamatkan kira-kira 35 rumah lain yang berdekatan dengan rumah yang terbakar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, operasi memadam kebakaran dan mengawal api daripada merebak masih dilakukan oleh pasukan bomba.
"Proses mengumpul maklumat juga sedang dilakukan. Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!