PRK Sungai Bakap: PH perlu terus kerja kuat, fokus kebajikan rakyat
KANGAR - Kerajaan Perpaduan perlu bekerja lebih keras dengan menumpukan kepada isu-isu kebajikan rakyat biarpun Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu lalu.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, mereka menerima dengan terbuka kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan menghormati keputusan rakyat memilih wakil mereka di kawasan tersebut.
Menurutnya, semua pihak di dalam Kerajaan Perpaduan telah mengambil tanggungjawab untuk membantu Joohari melalui persediaan rapi jentera pilihan raya.
"Itulah yang terjadi dan itulah keputusannya (PH tewas dalam PRK Sungai Bakap.
"Kita berharap selepas ini terus bekerja keras memastikan isu-isu, dan kebajikan rakyat dapat kita tangani dengan sebaiknya termasuk bahagian komunikasi dan kerjasama dengan lebih erat (jentera Kerajaan Perpaduan)," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel, di sini pada petang Selasa.
Beliau berkata demikian selepas hadir Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan Joohari yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!