Abdul Hadi enggan ulas kenyataan Ahmad Zahid

Abdul Hadi yang berucap pada Kelmic ‘24.
Abdul Hadi yang berucap pada Kelmic ‘24.
A
A
A

KOTA BHARU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas kenyataan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan tidak akan ada kerjasama kedua-dua parti itu selagi Abdul Hadi memegang jawatan.

Abdul Hadi sebaliknya menyerahkan kepada orang lain atau rakyat untuk menjawab perkara itu.

“Biar orang lain jawablah, saya tak payah jawab yang itu atau bagi rakyat jawab.

“Pihak cawangan (Pas) pun boleh jawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam 2024 (Kelmic ‘24), di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Isnin lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyatakan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Abdul Hadi.
Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Abdul Hadi.

Untuk rekod, UMNO dan Pas pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya PRU ke-13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.

Artikel Berkaitan:

Pas kemudian membuat keputusan menerima Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan kerjasama politik atas nama penyatuan ummah.

Kini, UMNO dan BN membentuk blok Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan dan parti dari Sabah serta Sarawak, dengan Pas berada di blok pembangkang.

Pas kini mempunyai 43 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, menjadikan mereka blok parti Melayu terbesar setakat ini, sementara UMNO pula dengan 26 Ahli Parlimen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!