95 peratus kes akibat seks terlarang
KUALA LUMPUR - Cadangan menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun adalah langkah terbaik untuk mencegah penularan virus berkenaan pada peringkat usia muda.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kaedah pengesanan awal membolehkan statistik terkini direkod bagi menambah baik program pencegahan HIV dari masa ke masa.
“Namun sebelum saringan dibuat sesi kaunseling perlu diberi kepada pelajar dan ibu bapa terlibat agar jiwa mereka tidak terkesan sekiranya mengetahui mereka dijangkiti kerana ia boleh memberi kesan kepada psikologi dan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Dr Dinesh Mahalingam yang berpendapat kaedah itu dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV termasuk pelajar universiti.
Jelas Zainal, 95 peratus kes HIV yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat terutama dalam kalangan golongan homoseksual.
“Hanya tiga peratus melibatkan penggunaan jarum suntikan dan dua peratus lagi adalah jangkitan daripada ibu kepada anak,” katanya.
Malah katanya, kira-kira 32 peratus daripada 70,000 rakyat Malaysia yang menghidap HIV ketika ini tidak mendapatkan rawatan.
“Golongan tersebut mungkin malu dengan pandangan serong masyarakat dan ini adalah punca utama pesakit tidak tampil menjalani rawatan,” katanya.
Menurut portal MyHealth KKM, HIV boleh merebak melalui darah dan cecair badan seperti ketika melakukan hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau daripada ibu hamil kepada anak yang dikandung.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini berkata, analisis awal projek perintis penggunaan ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) yang digunakan untuk pencegahan HIV menunjukkan penurunan drastik kes baharu.
Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan 3,451 individu yang menerima PrEP sejak projek perintis dimulakan pada Januari 2023 hingga 11 Januari lalu.
Tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Suani berkata, pemberian ubat PrEP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada pasangan yang terdedah dengan risiko jangkitan HIV bukan bertujuan menggalakkan aktiviti seksual songsang dan tidak bermoral.
Sebaliknya kata beliau, penggunaan ubat PrEP menjadi kaedah tambahan selain langkah advokasi pencegahan dan penggunaan kondom.
Katanya, KKM juga sudah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak berkuasa agama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!