Mencari titik noktah buli siber

LIDAH PENGARANG

Isu buli siber bukan perkara baharu di negara ini sebaliknya ia semakin ketara seiring dengan perkembangan teknologi. Gambar hiasan 123RF
Isu buli siber bukan perkara baharu di negara ini sebaliknya ia semakin ketara seiring dengan perkembangan teknologi. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PADA Jumaat ini, isu buli siber akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dengan harapan dapat mencari penyelesaian terbaik, termasuk dari aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Menurut laporan akhbar tempatan, pembentangan itu diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia juga menyentuh laporan berhubung insiden membabitkan seorang pempengaruh di TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat perbuatan tersebut.

Sebenarnya isu buli siber bukan perkara baharu di negara ini sebaliknya ia semakin ketara seiring dengan perkembangan teknologi.

Seperti yang ditunjukkan oleh laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia pada tahun 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.

Salah satu cabaran utama dalam menangani buli siber adalah kesukaran mengenal pasti identiti pelaku yang sering bersembunyi di sebalik akaun palsu.

Kerajaan perlu memperkuatkan undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baharu yang lebih tegas terhadap kesalahan buli siber. Ini termasuk hukuman yang lebih berat bagi pesalah dan langkah-langkah pengesanan yang lebih efektif.

Untuk rekod, sehingga kini, Malaysia masih belum mempunyai suatu undang-undang yang spesifik berkenaan buli siber.

Walaupun tiada undang-undang khas, kesalahan buli siber boleh diambil tindakan di bawah aktaakta yang bersesuaian seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Fitnah 1957.

Artikel Berkaitan:

Pemangsa buli siber boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali. Apa pun, program pendidikan mengenai buli siber perlu dijalankan secara progresif di sekolahsekolah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kesan negatif buli siber dan cara untuk menanganinya.

Ibu bapa juga perlu diberikan maklumat dan alat untuk memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka dan mengenal pasti tanda-tanda buli siber.

Dengan langkah-langkah pencegahan yang efektif dan sokongan dari semua pihak, kita boleh mengurangkan kejadian buli siber dan melindungi kesejahteraan emosi dan psikologi individu, terutamanya kanak-kanak dan remaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!