Lelaki maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Bakri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala seorang wanita melecur dalam kebakaran di bilik di sebuah rumah di Taman Sri Bakri 3, Muar hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Jefri Jamal berkata, mayat Lim Liah Chin, 35, ditemui dalam keadaan melecur kira-kira 80 peratus di loteng bahagian atas rumah berkenaan sejurus kebakaran dipadamkan.

"Bomba menerima panggilan kebakaran itu menerusi talian MERS 999 pada 1.03 tengah hari tadi dan seramai 12 anggota bomba bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar serta Pagoh termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Jefri berkata, wanita berkenaan yang dianggarkan berumur 50-an dihantar ke hospital oleh EMRS, namun identitinya belum dapat dikenal pasti kerana dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mayat Liah Chin diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi pemadaman di bilik yang 90 peratus terbakar tersebut tamat pada 5.55 petang tadi.

"Punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu sedang disiasat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!