Mumia lelaki muncul selepas hilang 22 tahun
LIMA - Mayat seorang pendaki warga Amerika yang hilang kira-kira 22 tahun lalu ditemui masih dalam keadaan elok di Peru selepas pencairan salji akibat fenomena perubahan iklim mendedahkan sekujur tubuhnya, menurut pihak polis pada Isnin.
William Stampfl berusia 59 tahun dilaporkan hilang pada Jun 2002 selepas dia tertimbus di bawah runtuhan salji di Gunung Huascaran setinggi lebih 6,700 meter.
Pada masa itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal untuk menjejakinya.
Selepas lebih dua dekad, 'mumia' lelaki itu akhirnya muncul di banjaran Cordillera Blanca di Andes.
Imej dikeluarkan polis menunjukkan tubuh Stampfl yang masih lengkap berpakaian 'terpelihara' dengan elok.
"Pihak berkuasa turut menemui pasport miliknya, sekali gus membolehkan identitinya disahkan," jelas jurucakap polis lagi.
Kawasan pergunungan di timur laut Peru itu menempatkan puncak bersalji seperti Huascaran dan Cashan yang menjadi lokasi tumpuan pendaki dari seluruh dunia.
Pada Mei lalu, mayat pendaki Israel dijumpai hampir sebulan selepas kehilangannya. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!