Peningkatan kes HIV seiring kejatuhan moral anak muda

Langkah pengesanan awal membolehkan statistik terkini direkod bagi menambah baik program pencegahan HIV dari masa ke masa.
Langkah pengesanan awal membolehkan statistik terkini direkod bagi menambah baik program pencegahan HIV dari masa ke masa.
A
A
A

PENINGKATAN kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar di negara ini bukan sahaja berada di tahap membimbangkan, malah menunjukkan kejatuhan moral anak muda di negara ini.

Mereka yang menghidap penyakit tersebut berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, seramai 214 pelajar dari institusi awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020 diikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023).

Susulan itu, Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr Dinesh Mahalingam berkata, kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun bagi memberi ruang pengesanan dan rawatan awal.

Menurutnya, cadangan tersebut akan meningkatkan kualiti kesihatan dan menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV.

Jika dahulu faktor utama peningkatan penyakit HIV/AIDS ialah disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah, namun kini senario itu telah berubah.

Kesedaran terhadap hubungan seks bebas dan homoseksual yang dilihat semakin giat dipromosikan dalam platform media sosial juga antara penyumbang kepada masalah tersebut.

Selain itu, terdapat juga pelajar di IPT yang menawarkan khidmat seks kepada orang ramai atas faktor kewangan selain cara mudah untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan harian.

Artikel Berkaitan:

Penulis tidak menafikan bahawa masyarakat moden pada hari ini lebih berfikiran terbuka dalam semua perkara, namun kita lupa kebebasan tersebut mampu meruntuhkan institusi sosial termasuk keluarga.

Berikutan peningkatan kes tersebut kerajaan disarankan supaya memperkasakan pendidikan seksual bagi memastikan generasi muda pada hari ini tidak menjurus ke arah masalah sosial sehingga mampu memberi kesan kepada masa hadapan mereka.

Selain itu, kerjasama dengan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dilaksanakan bagi mendekati golongan tersebut selain memberi khidmat perlindungan dan kaunseling untuk membendung masalah berkenaan.

Jika kerajaan tidak serius dalam menangani masalah sedia ada, hasrat untuk mengakhiri penyakit HIV/AIDS menjelang 2030 akan menjadi sukar.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala sosial sehingga memberi impak terhadap kesihatan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!