China bina hospital baharu untuk pesakit koronavirus
BEIJING - China akan membina hospital kedua di Wuhan, bandar yang menjadi pusat penularan wabak koronavirus yang menjangkiti ratusan penduduk di negara itu sehingga boleh membawa kepada kematian.
Menurut sumber melalui laporan People’s Daily, pembinaan hospital itu dijangka siap dalam masa 15 hari yang akan menempatkan 1,300 katil.
Katanya, sebanyak 35 buah penggali dan 10 jentolak diperlukan bagi melancarkan operasi ini dan penambahan jentera akan dilakukan pada Isnin depan.
“Pembinaan ini dilakukan bagi kita menyelesaikan kekurangan sumber perubatan di hospital yang terlibat untuk merawat mangsa wabak koronavirus.
“Oleh kerana itu, hospital ini akan menjadi bangunan pasang siap dan ia bukan sahaja akan dibina dengan pantas, namun tidak akan melibatkan kos yang besar,” katanya.
Pembinaan hospital koronavirus pertama sudah bermula dan dijangka siap pada 3 Februari ini.
Virus berkenaan sudah mengorbankan 41 orang setakat ini dan menjangkiti lebih 1,300 orang di serata dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!