Bersatu dijangka muktamad calon Nenggiri minggu depan
KOTA BHARU - Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka memuktamadkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri minggu hadapan.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Mohd Noor berkata, pihaknya juga menghantar lebih ramai nama calon kepada pucuk pimpinan parti untuk dinilai berbanding tiga nama anak tempatan Gua Musang yang diberikan minggu lalu.
“Kami mengharapkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat keputusan lebih awal supaya calon boleh membuat persiapan.
“Kami turut menunggu apa-apa keputusan Speaker Dewan Rakyat berkait enam lagi kerusi Parlimen, bagaimanapun kemungkinan minggu depan calon untuk DUN Nenggiri akan dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam 2024 (Kelmic ‘24), di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Kamarudin yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kelantan turut menepis spekulasi Bersatu ketandusan calon, sebaliknya mempunyai ramai individu berkelayakan.
Beliau juga menolak dakwaan adanya perebutan antara parti di bawah gabungan sama untuk meletakkan calon bagi merebut kerusi DUN Nenggiri.
“Tidak berebut tetapi kami sebenarnya menawarkan banyak pilihan selain tidak berbangkit soal ketandusan calon.
“Kami hantar empat hingga enam nama yang layak untuk dibuat keputusan tetapi ada sesetengah pihak sengaja meruncingkan suasana, mereka kata kami tak ada calon,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Kamarudin, jentera Bersatu mencukupi dan bergabung dengan jentera Pas di bawah Perikatan Nasional dalam melaksanakan gerak kerja persiapan PRK di DUN berkenaan.
“Sudah empat kali latihan persiapan dilakukan dan kami bersedia untuk PRK Nenggiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Bersatu Bahagian Kuala Krai, Zulfaqar Dahalan dan bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin antara nama yang dikatakan akan dicalonkan pada PRK DUN Nenggiri.
Seorang lagi nama disebut ialah ahli Bersatu yang sebelum ini bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Sheikh Razali Hamad.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!