Penyasaran subsidi diesel, kepengerusian ASEAN antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyasaran subsidi diesel dan kepengerusian ASEAN antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan melalui laman rasmi Parlimen, soalan berkaitan mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dibangkitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi soal jawab.

Hamzah ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penyasaran subsidi itu tidak memberi kesan kepada rantaian ekonomi secara keseluruhan yang boleh mendorong melonjakkan lagi harga barang dengan kesannya kepada rakyat terbanyak terutama golongan M40 dan B40.

Dalam sesi sama, soalan mengenai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan dan perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh kepengerusian itu diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) kepada Menteri Luar.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan statistik kes penipuan umrah dan haji dari 2019 hingga tahun ini serta tindakan yang dikenakan kepada agensi pengendali umrah yang menipu jemaah.

Selain itu, pertanyaan mengenai peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam membantu negara bagi soal keselamatan dan keterjaminan makanan, khususnya dari sudut aplikasi teknologi dan inovasi dikemukakan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).

Zahari Kechik (PN-Jeli) memohon Menteri Pertahanan menjawab soalan berhubung status terkini pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung perbahasan bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Artikel Berkaitan:

Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!