Papan tanda iklan haram, MBS rugi hampir setengah juta

Kerja-kerja me robohkan papan tanda iklan haram dilakukan di tepi Lebuhraya Plus. Gambar kecil: Mohd Zafir
Kerja-kerja me robohkan papan tanda iklan haram dilakukan di tepi Lebuhraya Plus. Gambar kecil: Mohd Zafir
A
A
A

NILAI - Majlis Bandaraya Seremban(MBS) kehilangan hasil lebih setengah juta disebabkan pemasangan papan tanda iklan haram sepanjang tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, sebanyak 225 papan tanda yang telah mendapat arahan tanda roboh manakala 145 daripadanya telah pun diambil tindakan tahun ini.

"Masih ada 80 lagi papan tanda yang dalam proses untuk dirobohkan dan ia dijangka selesai selewat-lewatnya hujung bulan depan.

"Isu ini telah lama dibangkitkan oleh MBS sejak 2018 lagi dan kita nampak ada usaha telah pun diambil yang mana kompaun telah dikeluarkan, namun tidak dapat apa-apa tindak balas daripada pemilik papan iklan ini," katanya pada sidang akhbar selepas operasi papan tanda iklan haram di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali.

Mohd Zafir (berbaju biru) melihat struktur papan tanda iklan haram yang dalam proses untuk dirobohkan
Mohd Zafir (berbaju biru) melihat struktur papan tanda iklan haram yang dalam proses untuk dirobohkan

Menurutnya, berdasarkan statistik, MBS telah mengeluarkan sebanyak 378 kompaun kepada pemilik papan tanda iklan pada tahun 2021 dan 100 notis tampal pada tahun 2022.

Ujarnya, apa yang dikesalkan apabila ada pemilik papan tanda iklan haram ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila mendirikan semula papan iklan yang telah pun diambil tindakan roboh.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita tengok tadi, papan tanda yang dirobohkan itu bukannya baharu kerana sebelum ini MBS telah pun merobohkannya, tapi telah dinaikkan semula.

"Kita tidak melarang pembinaan papan iklan ini asalkan mematuhi prosedur pembinaan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan(PBT) lain turut diminta melakukan pemantauan berkenaan papan iklan haram bagi memastikan tidak berlaku ketirisan terhadap hasil negeri.

Jelasnya, tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini bagi membendung isu papan iklan yang tidak mempunyai lesen kerana ia berisiko mendatangkan bahaya termasuk kepada pengguna lebuh raya.

"Buat masa ini kita baharu di peringkat pastikan mana-mana papan tanda tiada permit ini dirobohkan.

"Tapi pada masa akan datang, kita akan fikirkan mekanisme lebih tegas termasuk kepada tuan tanah yang membenarkan pembinaan tanpa permit di tanah mereka,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!