Geram pengusaha tak serik bakar e-waste, plastik secara terbuka

Pembakaran e-waste dan plastik secara terbuka di Kampung Sijangkang mencetuskan kemarahan penduduk setempat. - Foto: MPKL
Pembakaran e-waste dan plastik secara terbuka di Kampung Sijangkang mencetuskan kemarahan penduduk setempat. - Foto: MPKL
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tiga bulan lalu, pengusaha premis e-waste yang beroperasi secara haram dilihat tidak serik kerana masih melakukan pembakaran secara terbuka bahan buangan tersebut kelmarin.

Berdasarkan aduan diterima anak jati Kampung Sijangkang yang hanya ini dikenali sebagai Azrel berkata, tapak pembakaran terbuka itu mengeluarkan asap tebal dan berbau busuk sehinggakan mengganggu ketenteraman serta kesihatan penduduk setempat.

“Tapak pembakaran terbuka ini berlaku lagi petang semalam (Selasa), asap tebal menyelubungi satu kampung.

“Kualiti udara di kawasan sudah menyesakkan, bau belerang sangat kuat.

“Alhamdulillah, MPKL dan bomba sudah turun padang untuk padamkan api kebakaran cuma pelaku tak dapat dikenalpasti. Jadi, kami harap sangat kerajaan ambil tindakan sebab dah banyak kali terjadi ” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muka depan Sinar Harian bertarikh 26 Jun melaporkan negara kini menghadapi masalah lambakan e-waste seperti telefon bimbit, komputer, pendingin hawa, peti sejuk dan lain-lain.

Bahan buangan terjadual tersebut kini mencecah 365,000 tan setahun iaitu lebih berat daripada 30,000 buah bas setingkat.

Wartawan Sinar Harian menjejaki tapak pembakaran terbuka itu dan mendapati bahan buangan e-waste, plastik serta asbestos tidak dilupuskan dengan kaedah mesra alam mengikut piawaian JAS mahupun Konvensyen Basel.

Artikel Berkaitan:

Pengusaha e-waste dipercayai telah melupuskan bukti dengan kaedah bakar atau kambus ke dalam tanah.

Kini, tanah berukuran kira-kira lima ekar tersebut berkemungkinan tidak boleh digunakan untuk penanaman semula kelapa sawit, bahkan aktiviti pertanian kerana kualiti dan aliran air bawah tanah merosot.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!