Suami isteri ditahan cuba seludup petrol

KPDN Kelantan mematahkan cubaan pasangan suami isteri menyeludup 75 liter petrol di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu di Tumpat pada Selasa. Gambar kecil: Penemuan tangki minyak yang telah diubahsuai.
KPDN Kelantan mematahkan cubaan pasangan suami isteri menyeludup 75 liter petrol di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu di Tumpat pada Selasa. Gambar kecil: Penemuan tangki minyak yang telah diubahsuai.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mematahkan cubaan pasangan suami isteri menyeludup 75 liter petrol dalam satu serbuan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu dekat sini pada jam 11 pagi Selasa.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang sedang mengisi petrol di kawasan Wakaf Bharu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas bertindak mengekori kereta terbabit dan berjaya mengesannya dalam keadaan parkir di hadapan sebuah rumah di Dusun Langgar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas Perodua Kenari itu membawa kepada penemuan tangki minyak yang telah diubahsuai mengandungi minyak petrol melebihi kuantiti asal.

Azman memberitahu, pasangan suami isteri tersebut gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit dan surat kuasa berkait pemilikan minyak petrol yang dibawa bersama itu.

"Siasatan awal suspek mengaku memiliki sebanyak anggaran 75 liter minyak petrol yang diisi ke dalam tangki minyak yang telah diubahsuai untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pangkalan haram atau tebing sungai di sempadan.

"Pasukan membuat sitaan barang kawalan minyak petrol 75 liter dan sebuah kenderaan, turut ditahan bersama pasangan suami isteri tersebut. Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan, termasuk kereta dan minyak petrol, dianggarkan berjumlah RM5,175.00.

Artikel Berkaitan:

Justeru, KPDN meminta orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bagi membanteras kegiatan haram ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!