Sukar buktikan kesahihan tiang Nabi Khidir bersandar - Mufti
KUALA TERENGGANU - Cerita mengenai tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir AS bersandar ketika bertemu ulama tersohor Terengganu, Tokku Paloh sukar untuk dibuktikan kesahihannya disebabkan berapa faktor.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ia disebabkan kisah tersebut berlaku dalam tempoh yang terlalu lama dan cerita mengenainya tiba-tiba timbul serta ditularkan di media sosial.
"ALLAH SWT mengetahui segalanya, Sesiapa pun boleh mendakwa cuma nak membuktikan itu bukan mudah, apatah lagi Tokku Paloh sudah tiada untuk ditemubual.
"Kita tak mampu menafikan pengalaman masing-masing, cuma kita tak ada kemampuan untuk mengesahkan apatah lagi kita tidak mengenali paras rupa Nabi Khidir tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video tular berdurasi 2 minit 58 saat yang mendakwa wujud tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir bersandar di sebuah kawasan dipercayai Surau Tokku Paloh
Video tersebut menunjukkan orang ramai mengunjungi kawasan itu bagi melihat sendiri tiang berkenaan yang didakwa pernah digunakan Nabi Khidir ketika bertemu ulama abad ke-19 Terengganu itu.
Bagaimanapun, Mohamad Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak mengutuk perbuatan individu di dalam video berkenaan kerana tidak pasti niat sebenar mereka mengunjungi tempat itu.
"Kita tak boleh kata orang yang berkunjung ke sana kerana mereka percaya dakwaan mengenai tiang yang menjadi tempat bersandar Nabi Khidir itu.
"Mungkin mereka pergi kerana hendak melihat sendiri dan memikirkan logik di sebalik dakwaan itu," katanya.
Dalam pada tu, beliau berkata, sebarang kepercayaan dan rasa taasub terhadap sesuatu perlu dielakkan agar tidak lari daripada landasan Islam yang sebenar.
"Apa pun, umat Islam perlu bersabar dan tunggu siasatan dijalankan oleh pihak bertanggungjawab (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) serta berhati-hati dengan sebarang dakwaan yang melibatkan kepercayaan tanpa bukti yang kukuh.
"Kita khuatir selepas ini terdapat mereka yang taasub dengan dakwaan-dakwaan seperti itu," katanya.
Baru-baru ini, tular sebuah video menerusi aplikasi Tik Tok yang dimuat naik pemilik akaun Remy Lepat Liat memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau.
Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta melihat tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Sukar buktikan kesahihan tiang Nabi Khidir bersandar - Mufti BULETIN TIKTOK 10 JULAI 2024 Cerita mengenai tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir AS bersandar ketika bertemu ulama tersohor Terengganu, Tokku Paloh sukar untuk dibuktikan kesahihannya disebabkan berapa faktor. Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ia disebabkan kisah tersebut berlaku dalam tempoh yang terlalu lama dan cerita mengenainya tiba-tiba timbul serta ditularkan di media sosial. Muzik: Theater of Delays - Black Sea - No Drums Version dari bendsound.com #SinarHarian #BuletinTikTok #TiangNabiKhidirbersandar#KualaTerengganu original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!