Kru vesel nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjun laut

MRSC Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut. Foto Maritim
MRSC Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut. Foto Maritim
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang kru vesel nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan vesel nelayan tempatan berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah di sini pada malam Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 telah mengesan vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada jam 9.50 malam.

Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia merapati vesel terbabit kerana mengesyaki vesel berkenaan sedang melakukan aktiviti menangguk siput.

“Namun, vesel tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan negeri Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Semasa aksi kejar buru, seorang kru vesel disyaki telah bertindak terjun ke laut setelah vesel berkenaan ditahan dan disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noor Azreyanti berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian tersebut.

Jelasnya, MRSC Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.

“Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan setempat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!