PRK Nenggiri: Veteran UMNO serah pilihan calon pada pimpinan
KOTA BHARU - Veteran UMNO Kelantan menyerahkan pilihan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang kepada pucuk pimpinan parti itu.
Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamaruddin Abdullah berkata, sesiapa sahaja calon yang dipilih merupakan persetujuan bersama dalam parti.
"Kita serah sahaja kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon pada pilihan raya itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun kata beliau veteran UMNO Kelantan yakin pimpinan parti itu akan memilih seorang calon wali (winnable, acceptable, likeable, integrity) yang mampu meraih kemenangan.
"Selain itu ada jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang akan bekerja keras sepanjang kempen PRK Dun Nenggiri," katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan senarai pendek calon sudah diterima dan individu yang bertanding akan dimuktamadkan minggu depan.
Ahmad Zahid juga berkata, calon dipilih merupakan individu yang boleh menang dan diterima pengundi.
PRK Nenggiri dilaksanakan berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim gagal menghentikan proses PRK Nenggiri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan.
Pada 13 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai kehilangan keahlian Mohd Azizi dalam parti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!