Penyasaran subsidi diesel di Semenanjung pastikan syarikat minyak bersedia - MOF
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia adalah langkah fasa pertama bagi memberi ruang kepada syarikat minyak untuk membangunkan dan melengkapkan kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF berkata, ia bagi memastikan syarikat minyak bersedia sekiranya langkah tersebut diperluas ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak memandangkan sebahagian besar mod pengangkutan untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu menggunakan bahan api diesel.
"Tambahan pula, keadaan geografi di situ mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme 'fleet card' yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih canggih terutamanya di kawasan pedalaman," menurut MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.
‘Fleet card’ adalah sistem subsidi diesel yang telah ditambah baik untuk memastikan kenderaan yang layak mendapat subsidi boleh dipantau dari segi penggunaan diesel dan mengelakkan berlakunya ketirisan.
MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menyatakan apakah rasionalnya pelaksanaan subsidi diesel bersasar hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dengan tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin mengetahui mengenai bagaimana kerajaan dapat menjimatkan kos sekiranya pengguna diesel yang layak menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan, MOF berkata, bantuan tunai sebanyak RM200 adalah mencukupi.
"Ketetapan jumlah bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi serta industri.
"Berdasarkan data daripada Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia," katanya.
Menurut MOF, kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!