Pindaan Akta Pemajuan Perumahan dibentang tahun depan
IPOH - Pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemaju terlibat dalam kes projek terbengkalai akan dibentangkan pada sidang Parlimen tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini kementerian melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) sedang giat mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh negeri-negeri.
Menurutnya, libat urus antaranya melibatkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) dan persatuan pembeli rumah itu penting memandangkan perkara berkaitan perumahan adalah hak rakyat dan kepentingan semua pihak.
"Sebelum kita buat apa-apa keputusan, kajian dan penyelidikan akan sentiasa kami jalankan. Jadi kita perlu dengar dulu suara daripada pemegang taruh seperti Rehda dan persatuan pembeli.
"Dengan segala proses yang sedang giat dijalankan ini, saya sasarkan pindaan akta ini dapat dibawa dan dibentangkan di Parlimen tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dengan JPN di Pejabat Menteri Besar di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pertukaran dokumen ditandatangani Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan itu bagi kerjasama pemulihan projek perumahan bermasalah dan terbengkalai di Perak.
Dalam laporan sebelum ini, Kor Ming memberitahu, pindaan akta itu bukan sahaja akan mengheret pemaju ke mahkamah, malah melarang mereka daripada meninggalkan negara.
Selepas pindaan itu nanti, sebarang kes penipuan akan didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM250,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya.
Akta sedia ada hanya melindungi harta rumah kediaman, kedai komersial, pejabat, pusat beli-belah dan unit komersial yang tidak tertakluk kepada kawalan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!