Sidang DUN Sabah bermula kecoh, Shafie Apdal tuntut tarik balik kenyataan
KOTA KINABALU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimulakan dengan pertikaman lidah apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menuntut Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menarik semula kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang membuat tuntutan itu sebelum mengemukakan soalan pertama dengan memohon daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya untuk beliau memperbetulkan beberapa fakta yang disifatnya sebagai sangkaan jahat berkaitan isu bon Sabah Development Bank (SDB).
"Dinyatakan bahawa saya menuduh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sangkaan jahat, saya tidak tuduh. Ini bukan masa kerajaan kamu, ini bukan GRS, ini bukan Warisan, ini dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).
"Ini kena ditarik balik kalau tidak mereka cakap saya ini buat kerja...saya tidak fitnah, saya katakan hutang ini GRS punya kerajaan tapi kamu kerajaan yang seterusnya," katanya dalam sidang DUN pada Rabu.
Sementara itu, Masidi dalam jawapan balasnya mengatakan Mohd Shafie tidak merujuk hansard yang betul bahawa beliau tidak pernah mengaitkan bon dengan empangan Papar.
"Saya mengasaskan kenyataan saya kepada minit mesyuarat ahli lembaga Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mana ADUN Senallang hadir selaku pengerusi Januari 2020.
"Kedua kenyataan saya berdasarkan laporan audit, jadi apa yang saya mahu tarik balik. Tidak sama sekali, ini cara saya," katanya.
Pertikaman lidah mereka berterusan apabila kedua-dua pihak masing-masing mengemukakan hujah sebelum ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mencelah dengan merujuk kepada buku Peraturan Mesyuarat.
"Peraturan Mesyuarat 426, Senallang telah salah guna peraturan ini. Dia boleh bercakap semasa pindaan, perkara ini sudah diputuskan semalam.
"Jadi tidak perlu lagi, kita sudah putuskan. Cuma Senallang boleh bercakap semula masa pindaan, semalam tiada pindaan kita luluskan semula, buat apa lagi diungkit ini sudah selesai," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Shafie meminta Dr Yusof merujuk semula kepada Peraturan Mesyuarat 436 berkaitan sangkaan jahat.
"Kau baca betul-betul pasal 436, yang saya nyatakan supaya saya minta dia tarik balik apa yang dia sebut semalam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!