D'Aman Residensi antara lima projek terbengkalai bakal dipulihkan
IPOH - Lima projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di Perak akan dipulihkan bermula tahun ini melibatkan 1,375 unit perumahan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dikenal pasti itu adalah D'Aman Residensi Meru Raya, Ipoh; Taman Tapah Permai, Tapah; Taman Cempaka II, Manjung; Taman Seri Emas, Kampar dan Taman Limau Mas, Beruas.
Menurutnya, pemulihan projek berkenaan dilakukan menerusi kerjasama strategik Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama Jabatan Perumahan Negara (JPN).
"Kerajaan negeri mengambil inisiatif menyelesaikan masalah ini kerana maklum akan rungutan rakyat yang sebahagiannya telahpun membayar melalui potongan gaji.
"Dengan gaji dah dipotong, masih menyewa rumah, rumah yang dibeli pula lambat siap, keadaan ini membuatkan rakyat menderita.
"Melalui kerjasama yang terjalin ini, sebagai contoh akan membolehkan projek D'Aman Residensi Meru Raya disambung semula akhir Julai ini dengan sasaran mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dengan JPN di Pejabat Menteri Besar di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Pertukaran dokumen ditandatangani Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan itu bagi kerjasama pemulihan projek perumahan bermasalah dan terbengkalai di Perak.
Saarani berkata, kerjasama itu memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif serta pemulihan projek terbengkalai secara sistematik.
Katanya, MoU itu juga adalah yang pertama seumpamanya dalam usaha kerajaan negeri dan Persekutuan menyelesaikan secara tuntas isu perumahan terbengkalai yang sering menimbulkan kegelisahan rakyat.
"Data terkini daripada JPN menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 unit rumah dikategorikan sebagai projek sakit.
"Kita harap melalui kerjasama erat kedua-dua pihak ini akan membawa perubahan positif dalam lanskap perumahan di Perak dan seterusnya dicontohi negeri-negeri lain," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!